CARTA ORGANISASI

Sunday 27 September 2009

REFLEKSI MORAL

Hargai nyawa rakyat Malaysia

Ops Sikap Ke-20 sudah berakhir semalam. Harapan untuk mengurangkan angka kematian, kemalangan dan pengeluaran saman pada Ops Sikap kali ini ternyata tidak berjaya. Angka kematian di jalan raya semakin meningkat. Kadar kemalangan tidak pun menurun setelah satu demi satu Ops Sikap dilaksanakan. Jadi sudah ada komentar yang mengkritik pelaksanaan Ops Sikap.

Segelintir pengkritik mendakwa Ops Sikap tidak berjaya mendidik disiplin pengguna jalan raya. Lalu langkah mencegah kemalangan itu dianggap sebagai projek membuang masa dan membazir wang kerajaan semata-mata.vWalaupun Ops Sikap kali ini mencatatkan jumlah kemalangan maut paling tinggi sejak ia dilancarkan pada 2001, jumlah ini masih rendah berbanding dengan kadar kematian harian peringkat nasional iaitu 18 orang, manakala kadar kematian harian musim perayaan sebelum Ops Sikap mula dilancarkan pada tahun 2001 ialah 23 orang.
Hakikatnya kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta agensi yang berkaitan telah berusaha untuk mengurangkan angka kematian dan kemalangan. Pelbagai pendekatan pencegahan kemalangan, penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi moden diperkenalkan dari tahun ke tahun -- tetapi kadar kematian dan kemalangan tidak berubah.

Usaha ini kurang berjaya kerana sikap pemandu Malaysia sendiri. Pemandu negara kita gemar memandu laju, suka langgar peraturan lalu lintas dan tidak berdisiplin di jalan raya. Malah menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya, antara sebab utama kemalangan berlaku di Malaysia ialah sikap memandu melebihi had laju.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meluahkan rasa kecewa terhadap peningkatan kes kemalangan maut khususnya pada musim perayaan di negara ini.
Katanya; "Di Malaysia, walaupun hukuman mati sekalipun (dikenakan), pengguna jalan raya akan tetap melanggar undang-undang."
Musa kecewa dengan sikap pengguna jalan raya yang tidak menghormati undang-undang lalu lintas. Ia adalah punca utama masalah kemalangan jalan raya.
Peningkatan kematian dan kemalangan adalah disebabkan sikap pengguna yang tidak bertanggungjawab dan melanggar peraturan termasuk memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan.

Jika benarlah pemandu Malaysia gemar melanggar peraturan jalan raya, sudah tiba masanya kita menilai harga nyawa mereka. Malaysia sekarang berada dalam senarai salah satu negara yang paling tinggi kadar kematian akibat kemalangan jalan raya berbanding dengan negara jiran dan negara membangun lain.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia adalah yang paling tinggi jumlah kematian di jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk. Malaysia mencatatkan 23.6 kematian berbanding dengan Thailand 19.6, Indonesia 7.1, Singapura 4.8 dan Filipina 1.3.

Ungkapan kata-kata "kelajuan itu membunuh" ternyata tidak meresap ke dalam minda pemandu Malaysia. Sedangkan setiap hari kita boleh membaca laporan media tentang tiada satu hari tanpa berita kemalangan jalan raya di negara ini. Menurut Menteri Pengangkutan, dianggarkan antara 7,000 hingga 7,500 orang mati di jalan raya dan lebuh raya Malaysia setiap tahun di antara 2001 hingga 2007. Angka kematian itu jika dibandingkan dengan jumlah 27 juta penduduk negara ini, ia dianggap tinggi.

Datuk Seri Ong Tee Keat baru-baru ini berkata memandu terlampau laju biasanya menyumbang 60 hingga 70 peratus kemalangan. Kajian yang dijalankan oleh International Institute of Administrative Sciences dua tahun lalu mendapati kelajuan adalah faktor utama risiko kemalangan di jalan raya. Kelajuan boleh memberi kesan pada risiko berlaku kemalangan dan kecederaan teruk. Kelajuan yang tinggi mendorong risiko lebih besar terhadap pelanggaran dan kemungkiman kecederaan parah yang serius. Pemanduan laju juga mengundang kesilapan lebih besar dilakukan oleh pemandu.

Namun jarang-jarang pesalah mahu mengakui mereka telah memandu laju melebihi had ditetapkan. Mungkin sikap pemanduan sebegini akan berubah apabila langkah penguatkuasaan dan pencegahan dilakukan melalui peralatan elektronik. Jika Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berpendapat cadangannya memasang Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) di 831 kawasan berisiko berlaku kemalangan di seluruh negara mampu mengurangkan kadar nahas jalan raya, maka kerajaan harus sokong.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, tinjauan di lebih 12 negara dan uji kaji yang dijalankan di Lebuh Raya Guthrie mendapati teknologi itu sesuai digunakan di Malaysia.
Malaysia tidak patut beralah dan putus asa dalam menangani masalah kemalangan jalan raya. Jika sistem lampu berkamera yang diperkenalkan beberapa tahun lalu dianggap gagal kerana kurang penyeliaan, maka pihak berkenaan terutama JPJ perlu mengambil iktibar dan jangan perkara yang sama diulangi.

Kita percaya jika sistem AES digunakan di tempat strategik, mana-mana pesalah pasti diberikan saman tanpa rasa takut dan memilih, malah ia mencegah daripada berlaku rasuah. Di samping itu, kadar denda kerana kelajuan perlu dilihat semula. Kadar saman yang mampu dibayar oleh pesalah menjadikan usaha pencegahan nampak lemah.

Jika dibandingkan kadar bayaran saman kerana kelajuan di antara Malaysia dengan negara lain, jelas negara kita mengenakan saman paling rendah. Namun ramai yang bersikap ingkar membayar saman, lebih-lebih lagi apabila mereka boleh 'berunding' untuk mendapat diskaun pada masa dan musim tertentu. Penguatkuasaan peraturan, pelaksanaan dan pengenalan sistem lalu lintas dibuat untuk menjamin keselamatan nyawa pengguna jalan raya di negara ini.

Semua ini dibuat kerana kos kemalangan di jalan raya menyebabkan Malaysia kerugian dari sudut ekonomi sebanyak dua peratus daripada Keluaran Negara Kasar setiap tahun. Menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, dianggarkan kos kemalangan di negara ini adalah RM9 bilion setahun. Angka itu belum termasuk kes kemalangan jalan raya yang tidak direkodkan.
Nilai kos kemalangan jalan raya di Malaysia amat tinggi. Harga yang mahal itu cukup terasa apabila kebanyakan kemalangan meragut nyawa golongan yang produktif dalam ekonomi. Jika kita membaca berita di dalam surat khabar, hakikatnya mangsa yang terlibat kemalangan adalah golongan berumur 18 hingga 50 tahun.

Malaysia perlu belajar dan mengambil pendekatan terbaik daripada negara luar. Mungkin ia amat berguna untuk menyelamatkan nyawa rakyat, memerangi gejala rasuah dan menjadikan pemandu Malaysia berhemah di jalan raya. Apa yang lebih penting ialah kita patut menghargai nilai nyawa rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment