CARTA ORGANISASI

Tuesday 29 September 2009

Kaunseling mampu bina ketahanan keluarga
Oleh Dr Rohany Nasir
rencanabh@bharian.com.my

GLOBALISASI menyaksikan perubahan pesat di persekitaran individu dan masyarakat umum. Seiring kepesatan perubahan sejagat, masyarakat terdedah dengan pelbagai ancaman luaran dan dalaman. Justeru, ia menuntut keluarga khususnya ibu bapa menjadi lebih kuat, bersedia dan mampu menangani cabaran. Laporan World Resources Institute (2008) menyebut ketahanan diri boleh meningkat dalam tiga dimensi iaitu lebih mantap dari segi ekonomi; lebih berdaya tahan dari segi sosial dan boleh bekerjasama untuk kebaikan bersama; dan ekosistem tempat tinggal manusia lebih berdaya tahan dari segi biologi supaya produktif dan stabil. Dengan mengambil kira keadaan masa kini, wajar kaunseling keluarga memberi tumpuan kepada usaha mempersiapkan keluarga dengan ciri-ciri ketahanan diri yang mantap bagi mengekang gejala negatif yang semakin menular.

Tumpuan kepada aspek positif ketahanan diri dapat membantu ahli keluarga lebih bersedia berdepan cabaran. Pendekatan ini menekankan kepada usaha membina ketahanan diri ibu bapa berlandaskan prinsip ibu bapa adalah orang yang mempunyai ketahanan diri mampu membina keluarga bahagia dan membesarkan anak. Ibu bapa kini berdepan pelbagai tuntutan untuk peka dengan pelbagai pengalaman baru yang positif dan negatif, peluang dan jenis pendidikan untuk anak; memahami dan memenuhi keperluan rohani dan jasmani; tuntutan terhadap dirinya sendiri sebagai seorang pekerja dan sebagai anak kepada orang tua mereka. Semua ini mencabar kestabilan keluarga. Oleh itu ibu bapa sebagai teraju perlu ada ketahanan diri supaya mereka mampu membina sebuah keluarga teguh dan kukuh yang mampu berdepan dengan tuntutan semasa dan melangkah maju.

Ahli psikologi mengkaji ketahanan diri dan tingkah laku menangani masalah sejak 1970-an. Minat mengkaji konsep ini menurun buat beberapa lama. Namun, sejak peristiwa pengeboman World Trade Center di Amerika Syarikat pengkaji lebih memberi tumpuan kepada kajian ketahanan diri khususnya dalam berdepan krisis, trauma, bencana alam dan pengaruh negatif. Ketahanan diri adalah keupayaan individu berdepan tekanan dan bencana, juga mempunyai pengertian sama dengan faktor pelindung dan digunakan berlawanan dengan faktor risiko. Ini bermakna, individu yang mempunyai ketahanan diri memperoleh faktor pelindung diri dan tidak berisiko menjadi rapuh. Ia akan bangkit tanpa tunduk kepada tekanan atau kesukaran yang dialaminya.

Selepas tragedi 11 September itu, pengkaji lebih tertumpu kepada psikologi positif, faktor pelindung dan pencegah, optimisme dan keyakinan, penyesuaian dan ketahanan diri. Individu yang mempunyai ketahanan diri mampu melihat daripada sudut positif, menggunakan pengalaman pahit atau trauma sebagai peluang membaiki diri. Mereka mampu bertahan dan tidak menunjukkan tanda-tanda seperti kebimbangan kronik, kemurungan, atau sakit mental.
Ketahanan diri di kalangan rakyat tempatan dapat dilihat melalui sejarah pembentukan negara kita. Sebelum Persekutuan Tanah Melayu, rakyat berdepan pelbagai kesukaran disebabkan penjajahan.

No comments:

Post a Comment