CARTA ORGANISASI

Wednesday 23 September 2009

Kajian perbandingan tangani kemalangan maut

MUNGKIN ada kebenarannya apa yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Sekalipun hukuman mati dikenakan, ia tidak mampu mengubah sikap pemanduan rakyat Malaysia di jalan raya. Semua pihak terutama penguatkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sendiri buntu bagaimana untuk menangani isu kemalangan maut di negara ini.

Pihak polis sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dengan menjalankan Ops Sikap setiap tahun semasa musim perayaan, namun statistik kemalangan maut tetap tidak menurun bahkan semakin bertambah. Tidak terkecuali Ops Sikap sempena Aidilfitri tahun ini. Namun mengurangkan kadar kemalangan maut bukanlah berada di bahu pihak polis dan JPJ semata-mata.

Kata-kata KPN ini menggambarkan rasa terkilan beliau dengan sikap pemanduan Malaysia yang seperti lupa diri apabila memegang stereng. Seolah-olah jalan raya merupakan pentas terbaik untuk menunjuk lagak. Rasa tidak hormat dengan pemandu yang lain juga menyebabkan tragedi kemalangan maut sering berlaku. Ini tidak termasuk sikap kurang ajar segelintir pemandu yang tidak menghormati undang-undang.

Isu kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kematian yang cukup tinggi merupakan satu isu nasional. Maka, disyorkan satu kajian yang mendalam melibatkan kemalangan maut. Dicadangkan data-data kemalangan yang direkodkan oleh pihak polis bermula daripada Ops Sikap 1 sehingga yang terbaru ini (Ops Sikap 20) dikaji dengan teliti.

Perkara-perkara seperti apakah punca kemalangan, jenis kenderaan dan golongan yang paling banyak terlibat dengan kemalangan, kawasan bagaimanakah yang paling banyak berlaku kemalangan dan bagaimanakah kematian boleh berlaku perlu dikaji secara mendalam. Kajian sebegini membolehkan segala maklumat terperinci mengenai kemalangan maut dapat dirungkaikan supaya polisi-polisi yang lebih berkesan dan tepat dapat digubal. Kerjasama pihak polis bersama-sama dengan pakar-pakar dalam bidang pengangkutan diperlukan untuk memastikan kajian sebegini siap sepenuhnya.

Di samping itu, hasil kajian ini mestilah disokong dengan kajian perbandingan dengan negara-negara yang mempunyai rekod kemalangan yang rendah dan pemandu-pemandunya berhemah tinggi seperti di New Zealand, United Kingdom, Jerman, Jepun dan Australia. Persoalan bagaimanakah cara pemanduan rakyat mereka dan undang-undang apakah yang boleh diguna pakai di Malaysia patut dikaji untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara ini. Paling penting, kajian perbandingan ini mestilah memberi satu dapatan dan impak yang besar yang membolehkan kerajaan dan rakyat Malaysia membudayakan sikap pemanduan yang berhemah tinggi.

Pembudayaan sikap pemanduan yang berhemah tinggi dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia merupakan penyelesaian jangka masa panjang untuk membendung kemalangan maut di kalangan rakyat Malaysia. Umpamanya di New Zealand, penunggang motosikal di sana sentiasa beratur di belakang kenderaan di depan mereka apabila lampu isyarat berwarna merah. Tetapi di Malaysia sudah diketahui umum kebanyakan penunggang motosikal berlumba-lumba untuk berada paling depan ketika berhenti di lampu isyarat meskipun kenderaan-kenderaan lain terlebih dahulu tiba.

Bagaimanakah sikap berhemah ketika memandu di kalangan rakyat di negara-negara tersebut boleh diterjemahkan dengan membudayakannya di Malaysia merupakan satu jawapan yang amat penting dalam menyelesaikan isu nasional ini. Adakah ia dibudayakan sejak kecil lagi atau diajar dalam kurikulum pendidikan pemanduan mereka agar mereka lebih berhemah, bertimbang rasa dan cekap memandu?

Kajian perbandingan ini mestilah menyeluruh dari semua segi agar mendapat gambaran yang kukuh untuk merangka strategi menangani isu kemalangan ini. Kajian ini seharusnya dibuat seberapa segera yang mungkin, seterusnya dibentangkan kepada satu jawatankuasa khas yang melibatkan menteri, polis, JPJ dan pakar-pakar berkaitan sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk dibuat keputusan. Apa yang penting, Malaysia tidak seharusnya sekadar menyediakan prasarana dan kemudahan jalan raya kelas pertama sahaja tetapi mestilah juga memastikan rakyatnya merupakan pemandu-pemandu yang mempunyai mentaliti kelas pertama di jalan raya melalui pembudayaan pemanduan berhemah serta memberi komitmen yang tinggi dalam mengatasi isu kemalangan dan kematian di jalan raya.

Jika ini dapat dilakukan, statistik kemalangan maut bukanlah lagi satu isu yang diperdebatkan setiap kali musim perayaan.

No comments:

Post a Comment