CARTA ORGANISASI

Tuesday 29 September 2009

Hutan lipur sarang maksiat

SEREMBAN 29 Sept. - Jijik dan tidak tahu malu. Di mana sahaja ada hutan atau tempat yang sunyi tentu sahaja ada 'belangkas' sedang memadu kasih. Mereka sengaja memilih kawasan sedemikian termasuk di kawasan hutan lipur untuk memadu asmara tanpa mengambil kira sensitiviti orang lain khususnya pengunjung yang membawa anak ke tempat riadah itu.

Senario itu turut berlaku di kawasan Hutan Lipur Lenggeng dekat sini yang dijadikan sarang maksiat oleh golongan muda kerana kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar dan tersorok tanpa pengawasan pihak berkuasa. Pengunjung yang datang untuk bermandi-manda di sungai yang mengalir di situ seringkali menegur golongan muda yang berkelakuan memalukan itu, namun tidak dipedulikan mereka. Akibatnya hutan lipur yang indah itu kini menjadi tempat maksiat paling strategik bagi golongan muda itu kerana bebas daripada 'mata' pihak berkuasa agama.

''Mereka tidak peduli. Sewaktu bulan Ramadan yang lalu, ada pasangan mengambil kesempatan memadu kasih di sini. Tak tahu malu dan tidak hormat langsung," ujar XXX, 33, ketika ditemui di hutan lipur itu hari ini. Katanya lagi, sepatutnya kawasan riadah itu bukan sahaja dijaga flora dan faunanya tetapi persekitaran dan pengisian rohaninya juga perlu diambil kira.
''Saya fikir gejala maksiat di kawasan hutan lipur ini perlu dihentikan. Ia berlaku tidak kira masa termasuk dalam bulan Ramadan," ujarnya.

Kebimbangan itu ada benarnya kerana berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia pada bulan Ramadan lalu mendapati hutan lipur itu turut dijadikan kawasan untuk 'menjamu selera' ketika umat Islam lain mengerjakan ibadah puasa.

Seorang lagi pengunjung, YYY, 23, memberitahu, dia jarang berkunjung ke kawasan rekreasi dan agak terkejut apabila mendapati hutan lipur itu dijadikan 'syurga' memadu kasih golongan muda.
''Memanglah lokasi hutan lipur ini terpencil. Tidak bermakna ia terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa. Sesekali kena juga kita perhatikan golongan muda ini, apa mereka buat dalam hutan berdua-duaan," ujarnya.
Dia seterusnya meminta pihak berkuasa tempatan dan agama di negeri ini supaya meninjau kawasan itu pada cuti umum, sebelah pagi dan lewat petang untuk memantau keadaan bukan sahaja di hutan lipur itu malah semua kawasan rekreasi di negeri ini.

Pengunjung lain, ZZZ, 36, pula berkata, sekiranya keadaan itu berterusan, ia bukan sahaja menggalakkan kegiatan tidak bermoral tetapi juga mencemarkan imej destinasi pelancongan domestik.
"Walaupun pengunjung yang datang ini boleh memberikan maklumat, tetapi sejauh mana pihak berkuasa boleh bertindak segera untuk menghentikannya.
''Saya percaya apabila keadaan ini dilaporkan media, sudah tentu golongan muda akan lebih berwaspada untuk memadu kasih di hutan lipur ini. Sekurang-kurangnya, media telah memainkan peranannya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment