CARTA ORGANISASI

Friday 4 September 2009

Menggilap erti sebenar kemerdekaan

TEMPOH 52 tahun merdeka merupakan jangka masa yang memadai untuk mematangkan setiap warga di negara merdeka ini. Seharusnya tempoh ini menjadi sesuatu yang bermakna untuk rakyat Malaysia menggilap semangat patriotik (cintakan negara). Daripada segi makna, patriotisme membawa erti cinta dan rasa tanggungjawab terhadap negara dan bangsa.

Seorang cendekiawan , Muhammad Iqbal turut memberi pandangan yang positif terhadap patriotisme. Beliau berkata: "Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia dan mempunyai tempat di dalam kehidupan moral manusia. Namun yang merupakan kepentingan sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaannya dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan erti yang harus dibawa hidup dan dibawa mati, bukan sejengkal tanah di mana jiwa manusia dihubungkan untuk sementara waktu."

Sehubungan itu juga, pada masa yang sama kita dikelirukan dengan apa yang dikenali sebagai nasionalisme. Muhammad Iqbal dan seorang lagi tokoh, Ismail Faruqi menolak nasionalisme. Bagi Ismail, nasionalisme merupakan ethnocentrism yang kemudiannya melahirkan rasisme yang melampau.

Sementara Muhammad Iqbal pula menolak nasionalisme seperti amalan di Barat iaitu yang berasaskan kebendaan dan menolak kehidupan beragama serta sangat berbahaya kepada kehidupan manusia.

Maka dengan itu, pada kesempatan merayakan sambutan kemerdekaan Malaysia kali yang ke-52 ini, penting bagi kita semua untuk kembali menggarap kefahaman terhadap kemerdekaan ini dengan lebih mendalam dan mantap. Perjuangan kemerdekaan memerlukan jiwa kental , iaitu jiwa yang memiliki pandangan dan memahami dimensi perjuangan dan bebanan yang harus dipikul. Perjuangan untuk kemerdekaan kemanusiaan seluruhnya bukan sekadar perjuangan untuk mendapat sebidang tanah atau kepuasan membalas dendam kepada penjajah.

No comments:

Post a Comment