CARTA ORGANISASI

Sunday 4 October 2009

REFLEKSI MORAL

Bersyukurlah kita dengan nikmat perpaduan...

BUMI bagaikan marah dan mengamuk. Di sana sini ada saja bencana yang menimpa. Bermula dengan Ketsana, taufan yang membawa sekali bencana banjir di Filipina, diikuti gempa bumi yang membawa tsunami di Samoa dan gempa bumi di Sumatera Barat. Beberapa lagi kejadian tanah runtuh, kebakaran, bangunan runtuh dan banjir terus melanda. Ternyata manusia tidak dapat menghalang bencana yang menyapa. Bencana yang melanda menyapu bersih apa yang ada di muka bumi ini - manusia, tumbuh-tumbuhan, ternakan, kenderaan dan sebagainya.

Tidak mengenal agama, darjat dan keturunan. Itulah kehendak Tuhan yang tidak dapat dihalang. Sebagai jiran, kita menumpang sedih dengan penduduk Filipina dan Indonesia.
Walaupun kadangkala ada tindakan sesetengah penduduk tetangga kita itu menyinggung perasaan tetapi sebagai manusia, kita harus menghulurkan simpati. Bak kata orang cubit paha kanan paha kiri juga terasa sakitnya.

Maka dalam menyatakan rasa simpati itu, kita harus bersyukur kerana negara kita masih selamat daripada bencana seumpama itu. Belum ada yang terlalu serius hingga mengorbankan ratusan jiwa atau menyebabkan ribuan lagi hilang ditelan bumi atau cedera. Bertuahnya bumi Malaysia ini. Ketika kita sibuk mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, rumah saudara seagama kita ranap dan ditelan bumi. Justeru, jagalah negara kita. Tetapi bagaimana mahu menjaganya? Jadi harus diingatkan, dalam kesibukan mencari kuasa untuk menjaga Malaysia ini, tolonglah dihindarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Kenapa sekadar untuk mencari wakil rakyat, kita sebagai warganegara Malaysia sanggup memaki hamun sesama saudara seagama dan sebangsa, ada pula sanggup bertumbuk dan mencederakan orang lain. Contohnya pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di beberapa kawasan menyaksikan orang politik hilang pertimbangan kerana kuasa. Budaya apa yang mahu dibawa ke dalam dunia politik di negara ini? Apakah atas nama demokrasi, kita boleh bersuara apa sahaja sesuka hati tanpa mengambil kira perasaan orang lain?

Sebelum ini, ada pemimpin parti politik yang mempelopori budaya demonstrasi jalanan. Kini ia semakin segar. Sudah beberapa kali 'acara' ini diadakan yang melibatkan orang politik sebagai dalangnya. Tujuannya sekadar mahu menyerahkan memorandum bantahan tetapi akhirnya menyusahkan banyak pihak. Adakah budaya demonstrasi jalanan ini akan terus segar bugar seperti yang berlaku di negara tetangga kita Indonesia dan Filipina?

Mungkin disebabkan negara kita aman dan harmoni, maka ada unsur-unsur yang mahu mencari sesuatu yang baru, yang luar biasa tanpa memikirkan kesan buruk kepada negara. Kadangkala manusia tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang ada sehinggalah mereka diberi petunjuk dengan bencana yang menimpa. Semoga negara ini akan terus mengekalkan nikmat perpaduan, dan seterusnya terhindar dari bencana...

No comments:

Post a Comment