CARTA ORGANISASI

Tuesday 8 September 2009

REFLEKSI MORAL

Amalkan budaya nasihat

DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup. Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam.

Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.

Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin. Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan baik yang telah terjalin.

No comments:

Post a Comment