CARTA ORGANISASI

Wednesday, 28 March 2012


TN HJ MOHD NASIR KASSIM GPK 1

KETUA PANITIA PENDIDIKAN MORAL

Wednesday, 18 November 2009

REFLEKSI MORAL

Tikam kenalan, dipenjara 13 tahun

KUALA LUMPUR 17 Nov. -- Pergaduhan yang tercetus hanya 10 minit. Namun akibatnya seorang pemotong ayam warga Indonesia perlu menghabiskan 13 tahun di dalam penjara setelah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian kenalannya.
Syahrul Efendi, 30, dari Sumatera Utara yang mencari rezeki di Pasar Chow Kit, bertindak menikam dada Adi Syahputra, 31, buruh pasar yang sama pada pukul 9 malam, 3 Disember 2006 di tepi rumah No. 28, Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini.

Segalanya dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati Adi yang kehilangan telefon bimbitnya. Mangsa yang berketurunan Madura mengetuk kepala Syahrul menggunakan sebiji gelas sehingga luka dan menerima lima jahitan. Setelah pergaduhan dileraikan, Syahrul yang masih tidak berpuas hati mengambil sebilah pisau lalu menikam mangsa ketika melalui sebuah lorong. Mangsa yang cedera di dada akibat tikaman meninggal dunia pada pukul 1 pagi, keesokan harinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber: Utusan Malaysia Online

Refleksi: Nilai rasional sepatutnya diamalkan bagi mengelak kejadian seperti di atas berlaku. Mereka sepatutnya boleh berfikir tentang akibat buruk yang bakal berlaku sekiranya tidak bersabar menghadapi situasi sedemikian. Mereka juga sepatutnya bertindak wajar dengan tidak memulakan pergaduhan sehingga akhirnya menyebabkan kematian rakan sendiri.

Wednesday, 14 October 2009

REFLEKSI MORAL

Laporan KPI: Guru wanita saman pengetua RM228,000

KUANTAN 6 Okt. - Akibat tidak puas hati dengan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) oleh ketuanya, seorang guru sekolah menengah memfailkan saman terhadap pengetua sekolah tersebut bagi menuntut ganti rugi RM228,000. Rozilah Abdullah, 37, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Jalan Gambang memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Balkish Alias & Co. di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Ogos lalu.

Rozilah selaku plaintif yang diwakili peguam Balkish Alias menamakan pengetua sekolah tersebut, Aluwiyah Osman sebagai defendan. Kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani hari ini. Hassan bagaimanapun menetapkan 5 November ini sebutan semula kes tersebut selepas Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan memohon masa untuk memfailkan pernyataan pembelaan.

Guru berkenaan yang telah berkhidmat sejak 11 tahun lalu mendakwa berlaku ketidakadilan dan penindasan terhadapnya melalui laporan KPI yang dikeluarkan oleh defendan. Menurut Rozilah, dia telah menerima surat menyatakan tiada pergerakan gajinya pada tahun lalu berikutan laporan KPI yang dinilai sebagai buruk yang dikeluarkan pengetua berkenaan.

''Pengetua itu turut memalukan saya di hadapan guru lain selain menuduh saya sengaja enggan mematuhi perintah.
''Malah, saya tidak diberi peluang untuk membela diri kerana tidak pernah dipanggil dalam sebarang siasatan atau diberi peluang menjawab laporan yang dibuat oleh ketua saya itu,'' dakwanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa mengalami tekanan perasaan selepas mengetahui laporan prestasinya diketahui pihak lain sebelum dia menerimanya. Ekoran tersebarnya laporan prestasinya yang buruk itu, dia mendakwa mengalami penyakit tekanan darah rendah selain perasaan malu yang akan kekal sepanjang hayat. Disebabkan laporan itu juga, dakwa Rozilah, kewibawaan dan reputasinya sebagai seorang pendidik dipandang rendah serta dicemuh masyarakat sekeliling. Sehubungan itu, dia tampil ke mahkamah untuk menuntut keadilan selain memulihkan kembali reputasinya yang terjejas teruk.

Refleksi: Pihak pentadbir dan staf sekolah seharusnya berbincang bersama bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan, bukannya saling salah-menyalahkan antara satu sama lain. Penyelesaian kes di mahkamah tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak, malahan nama baik institusi pendidikan akan tercemar sehingga masyarakat bakal mempersoalkan kredibiliti para pendidik.

Sumber: Utusan Online - 7 Oktober 2009

Sunday, 4 October 2009

REFLEKSI MORAL

Bersyukurlah kita dengan nikmat perpaduan...

BUMI bagaikan marah dan mengamuk. Di sana sini ada saja bencana yang menimpa. Bermula dengan Ketsana, taufan yang membawa sekali bencana banjir di Filipina, diikuti gempa bumi yang membawa tsunami di Samoa dan gempa bumi di Sumatera Barat. Beberapa lagi kejadian tanah runtuh, kebakaran, bangunan runtuh dan banjir terus melanda. Ternyata manusia tidak dapat menghalang bencana yang menyapa. Bencana yang melanda menyapu bersih apa yang ada di muka bumi ini - manusia, tumbuh-tumbuhan, ternakan, kenderaan dan sebagainya.

Tidak mengenal agama, darjat dan keturunan. Itulah kehendak Tuhan yang tidak dapat dihalang. Sebagai jiran, kita menumpang sedih dengan penduduk Filipina dan Indonesia.
Walaupun kadangkala ada tindakan sesetengah penduduk tetangga kita itu menyinggung perasaan tetapi sebagai manusia, kita harus menghulurkan simpati. Bak kata orang cubit paha kanan paha kiri juga terasa sakitnya.

Maka dalam menyatakan rasa simpati itu, kita harus bersyukur kerana negara kita masih selamat daripada bencana seumpama itu. Belum ada yang terlalu serius hingga mengorbankan ratusan jiwa atau menyebabkan ribuan lagi hilang ditelan bumi atau cedera. Bertuahnya bumi Malaysia ini. Ketika kita sibuk mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, rumah saudara seagama kita ranap dan ditelan bumi. Justeru, jagalah negara kita. Tetapi bagaimana mahu menjaganya? Jadi harus diingatkan, dalam kesibukan mencari kuasa untuk menjaga Malaysia ini, tolonglah dihindarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Kenapa sekadar untuk mencari wakil rakyat, kita sebagai warganegara Malaysia sanggup memaki hamun sesama saudara seagama dan sebangsa, ada pula sanggup bertumbuk dan mencederakan orang lain. Contohnya pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di beberapa kawasan menyaksikan orang politik hilang pertimbangan kerana kuasa. Budaya apa yang mahu dibawa ke dalam dunia politik di negara ini? Apakah atas nama demokrasi, kita boleh bersuara apa sahaja sesuka hati tanpa mengambil kira perasaan orang lain?

Sebelum ini, ada pemimpin parti politik yang mempelopori budaya demonstrasi jalanan. Kini ia semakin segar. Sudah beberapa kali 'acara' ini diadakan yang melibatkan orang politik sebagai dalangnya. Tujuannya sekadar mahu menyerahkan memorandum bantahan tetapi akhirnya menyusahkan banyak pihak. Adakah budaya demonstrasi jalanan ini akan terus segar bugar seperti yang berlaku di negara tetangga kita Indonesia dan Filipina?

Mungkin disebabkan negara kita aman dan harmoni, maka ada unsur-unsur yang mahu mencari sesuatu yang baru, yang luar biasa tanpa memikirkan kesan buruk kepada negara. Kadangkala manusia tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang ada sehinggalah mereka diberi petunjuk dengan bencana yang menimpa. Semoga negara ini akan terus mengekalkan nikmat perpaduan, dan seterusnya terhindar dari bencana...

Thursday, 1 October 2009

REFLEKSI MORAL

Kenal pasti punca perubahan sikap pemanduan

PENYEBAB kegagalan Ops Sikap yang kita sering dengar ialah sikap pemandu itu sendiri. Oleh itu, ‘sikap’ telah dituduh sebagai penyebab utama kegagalan operasi murni kerajaan. Saya yang berkecimpung secara serius dan mendalam mentadbir dan mengkaji pembangunan sains teknologi perlumbaan kereta dan motosikal, terpanggil untuk memberi pendapat namun tidak berminat berbincang mengenai jumlah kemalangan dan kematian yang dihasilkan oleh sikap-sikap pemandu di Malaysia masa kini.

Apa yang perlu dikerjakan sekarang ialah kajian dan kaedah mengelakkan ‘punca’ sikap itu sendiri. Mencegah itu lebih baik daripada merawat – selalu kita dengar ayat keramat ini namun mungkin kaedah pelaksanaannya kurang tepat. Pada pendapat saya, kaedah-kaedah ‘bijak’ yang digunakan dalam sains dan teknologi sukan bermotor boleh diketengahkan untuk diguna pakai oleh masyarakat umum.

Untuk tidak disalah anggap, bukanlah faktor ‘kelajuan’ dan ‘keberanian’ yang dimaksudkan kerana itu adalah punca datangnya sikap ego serta mudah tersinggung dan akhirnya membawa padah dan kecelakaan.

‘Kebijaksanaan’ pemandu dan penunggang ialah satu-satunya kaedah terbaik yang dapat membawa ke arah pembaikpulihan. Oleh itu, persediaan rapi semua aspek termasuk fizikal dan mental secara bijak oleh setiap pemandu dan penunggang motosikal adalah keutamaan bagi membasmi kemalangan di jalan raya.

Mungkin sesetengah pihak sudah terlepas pandang atau tidak tahu bahawa jika sesebuah kenderaan itu telah terlebih muatan seperti memenuhkan boot simpanan barangan atau bilangan penumpang yang lebih daripada biasa. Ingat, di samping tangki minyak yang penuh, kenderaan tersebut perlu dipandu dengan cara yang berbeza daripada kebiasaan. Kita perlu membrek dengan lebih awal dan perlu mengambil selekoh dengan lebih perlahan. Dengan bebanan dan berat yang lebih daripada biasa ini juga menyebabkan kenderaan itu akan berkurangan tenaga untuk memotong kenderaan lain dan ini mampu menyebabkan kemalangan akibat berat dan bebanan luar daripada kebiasaan.

Momentum pergerakan kenderaan itu sudah berbeza apabila ia tidak dapat berhenti cepat seperti dikehendaki dan tidak dapat mengambil selekoh dengan cekap seperti biasa. Jika pemandu tidak sedar dengan realiti ini, mereka sangat terdedah dengan kemalangan.

Saya senaraikan secara ringkas antara faktor ‘penyebab’ sikap buruk pemandu dan penunggang motosikal di atas jalan raya.
1. Pemakanan dan cara hidup yang tidak normal di musim perayaan.
Tidak cukup tidur dan rehat. Pengambilan gula, karbohidrat dan makanan berlemak secara berlebihan menyebabkan otak menjadi lembap, leka dan lalai. Meminum kopi atau apa-apa yang mengandungi kafein serta merokok terutamanya pengambilan yang lebih daripada biasa akan membuatkan kita menjadi lebih teruja dan peka, namun tanpa disedari kita menjadi lebih mudah gementar, mudah terkejut serta kekok dan mudah melatah hinggakan otak gagal berfungsi dengan bijak dan efisien.
2. Papan-papan iklan di sepanjang jalan raya dan lebuh raya secara tidak langsung mengganggu konsentrasi pemanduan pengguna jalan raya. Iklan-Iklan menarik di radio juga mengganggu konsentrasi. Pengguna telefon bimbit secara lebih kerap bagi melayani kemeriahan perayaan akan memburukkan keadaan.
3. Menggunakan kasut dan pakaian baru tidak sesuai untuk pemanduan dan tunggangan bagi perjalanan jarak jauh.Pengisian barangan di dalam boot belakang tidak disusun dengan betul atau lebih muatan. Cockpit atau ruang tempat duduk pemandu sarat dengan perkakasan dan aksesori yang tanpa disedari telah mengganggu konsentrasi pemandu.
4. Segelintir pemandu atau pemilik kenderaan tidak mampu menyelenggara kenderaan mereka dengan cara terbaik. Tidak mampu dari segi kewangan. Tidak mampu dari segi masa yang terhad akibat kerja baik pulih kenderaan pada saat-saat akhir. Penyelenggaraan kereta atau motosikal dibuat sendiri dengan pengetahuan dan perkakasan kerja yang serba kekurangan.
5. Kos perbelanjaan yang tinggi hingga mengganggu jiwa atau perasaan sangat teruja dan berbesar hati untuk menghadapi kemeriahan perayaan membuatkan sikap manusia ini berubah seketika di musim perayaan.

Terjemahkanlah dengan bijak dan positif pendapat-pendapat ringkas ini. Jika anda sudah tidak sayangkan nyawa sendiri, sekurang-kurangnya sayangilah nyawa orang lain.

Wednesday, 30 September 2009

MORALITI BANGSA

Remaja potong tangan bapa

TAIPEI 29 Sept. - Seorang remaja lelaki Taiwan berusia 17 tahun ditahan kerana menetak tangan bapanya ekoran dendam kerana penderaan fizikal selama bertahun-tahun.
Remaja tersebut memotong pergelangan tangan bapanya dengan sebilah pisau semasa bapanya sedang tidur di rumah keluarga mereka di Miaoli semalam, kata pegawai rasmi polis yang enggan dikenali hari ini.

Mangsa yang merupakan seorang tukang besi berusia 37 tahun yang telah bercerai, berada di dalam keadaan stabil selepas doktor menyambung semula tangannya yang terputus, ujar pegawai tersebut. Kedua-dua anak beranak itu hanya dikenali dengan nama keluarga mereka iaitu Fan.

Menurut pegawai polis, remaja lelaki itu mengakui memotong tangan bapanya tanpa menunjukkan perasaan kesal mengadu bahawa dia dipukul ekoran tidak mahu mendapatkan pekerjaan sejak masih bersekolah. Akhbar Apply Daily memetik remaja itu sebagai berkata kepada polis bahawa sejak ibunya meninggalkan rumah kira-kira 10 tahun lalu, bapanya kerap memukulnya malah membaling kerusi dan barang-barang ke arahnya.

Akhbar itu turut melaporkan remaja tersebut mengakui membeli pisau dan merancang untuk membunuh bapanya dua hari sebelum kejadian itu, selepas bapanya memarahinya kerana tidak bekerja serta enggan memberikan elaun kepadanya. Remaja itu akan diserahkan kepada mahkamah juvenil yang akan menentukan sama ada dia akan didakwa atau tidak. - AP

Moral: Kasih sayang terhadap keluarga harus dipupuk tidak kira sama ada keluarga itu terlibat dengan masalah penceraian. Sebagai bapa seharusnya membimbing anak dan bertanggungjawab menghantar anak mendapatkan pendidikan setinggi mungkin, bukan memaksa anak bekerja.

Tuesday, 29 September 2009

Hutan lipur sarang maksiat

SEREMBAN 29 Sept. - Jijik dan tidak tahu malu. Di mana sahaja ada hutan atau tempat yang sunyi tentu sahaja ada 'belangkas' sedang memadu kasih. Mereka sengaja memilih kawasan sedemikian termasuk di kawasan hutan lipur untuk memadu asmara tanpa mengambil kira sensitiviti orang lain khususnya pengunjung yang membawa anak ke tempat riadah itu.

Senario itu turut berlaku di kawasan Hutan Lipur Lenggeng dekat sini yang dijadikan sarang maksiat oleh golongan muda kerana kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar dan tersorok tanpa pengawasan pihak berkuasa. Pengunjung yang datang untuk bermandi-manda di sungai yang mengalir di situ seringkali menegur golongan muda yang berkelakuan memalukan itu, namun tidak dipedulikan mereka. Akibatnya hutan lipur yang indah itu kini menjadi tempat maksiat paling strategik bagi golongan muda itu kerana bebas daripada 'mata' pihak berkuasa agama.

''Mereka tidak peduli. Sewaktu bulan Ramadan yang lalu, ada pasangan mengambil kesempatan memadu kasih di sini. Tak tahu malu dan tidak hormat langsung," ujar XXX, 33, ketika ditemui di hutan lipur itu hari ini. Katanya lagi, sepatutnya kawasan riadah itu bukan sahaja dijaga flora dan faunanya tetapi persekitaran dan pengisian rohaninya juga perlu diambil kira.
''Saya fikir gejala maksiat di kawasan hutan lipur ini perlu dihentikan. Ia berlaku tidak kira masa termasuk dalam bulan Ramadan," ujarnya.

Kebimbangan itu ada benarnya kerana berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia pada bulan Ramadan lalu mendapati hutan lipur itu turut dijadikan kawasan untuk 'menjamu selera' ketika umat Islam lain mengerjakan ibadah puasa.

Seorang lagi pengunjung, YYY, 23, memberitahu, dia jarang berkunjung ke kawasan rekreasi dan agak terkejut apabila mendapati hutan lipur itu dijadikan 'syurga' memadu kasih golongan muda.
''Memanglah lokasi hutan lipur ini terpencil. Tidak bermakna ia terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa. Sesekali kena juga kita perhatikan golongan muda ini, apa mereka buat dalam hutan berdua-duaan," ujarnya.
Dia seterusnya meminta pihak berkuasa tempatan dan agama di negeri ini supaya meninjau kawasan itu pada cuti umum, sebelah pagi dan lewat petang untuk memantau keadaan bukan sahaja di hutan lipur itu malah semua kawasan rekreasi di negeri ini.

Pengunjung lain, ZZZ, 36, pula berkata, sekiranya keadaan itu berterusan, ia bukan sahaja menggalakkan kegiatan tidak bermoral tetapi juga mencemarkan imej destinasi pelancongan domestik.
"Walaupun pengunjung yang datang ini boleh memberikan maklumat, tetapi sejauh mana pihak berkuasa boleh bertindak segera untuk menghentikannya.
''Saya percaya apabila keadaan ini dilaporkan media, sudah tentu golongan muda akan lebih berwaspada untuk memadu kasih di hutan lipur ini. Sekurang-kurangnya, media telah memainkan peranannya," ujarnya.